Wednesday, September 30, 2009

NOTA KULIAH 2 OKT : KOSMETIK

Minggu ini pelajar-pelajar akan didedahkan dengan isu kosmetik. Pelajar-pelajar boleh membaca ringkasan kuliah yang akan disampaikan pada hari Jumaat 2 Okt 2009 ini. Para pelajar boleh klik komen di bawah untuk mendapatkan maklumat tersebut.

8 comments:

  1. KOSMETIK merupakan sediaan yang digunakan pada bahagian luar badan untuk tujuan kecantikan atau pembersihan supaya rupa bentuk berubah menjadi lebih menawan atau menarik. Kebiasaannya sediaan ini digunakan atau dilekatkan pada bahagian kulit yang merupakan bahagian badan yang mempunyai banyak cabaran daripada pengaruh alam sekitar di samping sediaan kosmetik. Atas pertimbangan ini, keserasian di antara bahan yang diletakkan pada kulit amat penting dengan sifat semulajadi kulit. Sekiranya bahan yang digunakan menyebabkan hakisan atau rengsa, maka kosmetik yang digunakan berpotensi untuk merosakkan rupa paras. Penggunaan yang serasi banyak bergantung kepada pemahaman penggunaan kosmetik serta pengetahuan lanjut tentang bahan-bahan yang terdapat di dalam sediaan kosmetik.

    Senarai bahan-bahan yang terdapat di dalam artikel ini merupakan senarai pilihan sahaja dan bukan merupakan senarai kesemua bahan-bahan yang digunakan di dalam sediaan kosmetik pada masa kini. Adalah dianggarkan terdapat kira-kira 5000 hingga 10,000 bahan kimia yang boleh digunakan dalam sediaan kosmetik.

    Kepentingan untuk mengetahui bahan-bahan yang digunakan di dalam sediaan kosmetik dapat dilihat daripada dua sudut utama iaitu kesihatan dan penggunaannya. Bahan-bahan yang digunakan berupaya untuk menyebabkan kecederaan pada tapak pemakaian seperti dikulit. Sebagai contoh, bahan seperti krim kecantikan yang mengandungi bahan aktif hidrokuinon yang sememangnya amat berkesan bagi menghilangkan tompok-tompok hitam pada muka. Namun kesan sampingan yang berbeza-beza telah diperhatikan dikalangan pengguna. Dalam satu kajian yang telah dijalankan di Amerika Syarikat, krim yang mengandungi dua hingga lima peratus hidrokuinon telah diuji ke atas 56 subjek yang mempunyai masalah tompokan hitam pada kulit. Hasil kajian mendapati ia berkesan menghilangkan tompokan hitam pada 44 orang daripada 56 subjek kajian. Manakala krim yang mengandungi lima peratus hidrokuinon pula telah dilaporkan memberi kesan sampingan yang lain (rengsa pada kulit).

    Pada kepekatan yang rendah, kesan sampingan hidrokuinon adalah sedikit sahaja. Manakala, kesan seperti kulit terbakar boleh berlaku jika digunakan pada kepekatan yang tinggi. Sekiranya digunakan untuk tempoh masa yang panjang dan digabungkan pula dengan pendedahan kulit yang dirawat kepada cahaya matahari, kesan sampingan yang diperhatikan adalah tompokan dan bonjolan kekuningan pada kulit atau dikenali sebagai okrosis akan terhasil. Kerosakan ini mungkin akan berkekalan pada kulit kerana tiada sebarang rawatan yang boleh dilakukan bagi memulihkan kesan samping ini.

    Hidrokuinon bukan sahaja berbahaya sekiranya digunakan pada kulit malahan jika termakan ia boleh menyebabkan keracunan yang serius. Jika termakan dalam jumlah sebanyak lima hingga 15 gram, gelugut dan anemia hemolitik (kerosakan sel darah merah) akan berlaku. Selain itu, bahan kosmetik juga boleh mengandungi pelarut seperti alkohol. Walaupun kegunaan alkohol tidak dapat dielakkan di dalam sesetengah sediaan kosmetik, pengguna Islam terpaksa memastikan bahawa sediaan kosmetik yang mengandungi alkohol tidak digunakan semasa bersembahyang. Di samping itu, lelemak seperti lilin, minyak dan lemak juga digunakan sebagai bahan minyak di dalam sediaan kosmetik.

    ReplyDelete
  2. FUNGSI DAN KEGUNAAN

    Sumber lelemak boleh juga diperoleh daripada dua sumber iaitu sumber haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang menentukan sama ada sediaan kosmetik boleh digunakan oleh pengguna Islam ataupun tidak. Pernah ditimbulkan daripada satu rampasan kosmetik pada tahun 1999 di Kuala Lumpur, minyak yang digunakan di dalam sediaan kosmetik diambil daripada lemak babi seperti yang tertera di atas label sebagai asas salap babi (lard ointment base).

    Memandangkan pentingnya untuk mengetahui bahan-bahan yang digunakan, maka pemahaman tentang kegunaan bahan-bahan tersebut di dalam sediaan kosmetik yang perlu difahami. Secara umumnya, bahan-bahan yang digunakan dapat digolongkan kepada tujuh kelas utama berdasarkan kepada tindakan bahan-bahan tersebut, iaitu:


    PENGAWET

    Bertujuan untuk memberi perlindungan kepada sediaan kosmetik daripada pencemaran kuman semasa kosmetik digunakan dan juga mengurangkan kerosakan sediaan yang disebabkan oleh pertumbuhan kuman. Bahan-bahan yang tergolong sebagai pengawet termasuklah paraben, sebatian ammonium kuartenar, alkohol seperti etanol dan isopropanol serta terbitan fenol seperti pkloro-m-kresol. Selain dariada pencegah pertumbuhan kuman, pengawet juga digunakan untuk mencegah minyak di dalam sediaan kosmetik daripada menjadi tengik. Bahan seperti ini termasuklah asid benzoik, BHA dan tokoferol atau vitamin E.

    PENGIMBANG pH

    Merupakan bahan yang akan mengekalkan pH sediaan kosmetik supaya sediaan tersebut serasi dengan kulit. Jika bahan tersebut tidak digunakan, perubahan mendadak dari segi nilai pH iaitu sama ada berasid atau berbes akan menyebabkan kerengsaan kulit terjadi semasa pemakaian sediaan kosmetik tersebut. Di antara bahan yang digunakan untuk mengimbangi pH sediaan ialah asid sitrik yang merupakan suatu asid atau ammonium karbonat yang merupakan suatu bes. Di samping penambahan suatu bes atau asid, pengimbang pH boleh juga merupakan campuran garam seperti ammonium bikarbonat atau kalsium karbonat dengan asid tartarik.

    ReplyDelete
  3. PENGAWAL KELEMBAPAN

    Digunakan untuk mencegah kehilangan air daripada sediaan kosmetik apabila bekas sediaan kosmetik dibuka berulangkali. Bahan-bahan yang digunakan seperti gliserin dan propilena glikol di dalam losyen dan krim pelembab memudahkan penggunaan sediaan agar mudah disapu dan diratakan ke kulit.

    PEMBANTU PROSESAN

    Merupakan bahan-bahan yang digunakan untuk memproses campuran bahan-bahan kosmetik agar menjadi suatu produk akhir yang menarik. Sebagai contoh kebanyakan sediaan kosmetik terdiri daripada campuran minyak di dalam air. Jika ada pembantu proses digunakan didalam campuran minyak dengan air, maka pemisahan kedua-dua lapisan berlaku untuk menghasilkan suatu produk yang tidak menarik. Dalam hal ini, agen pengemulsi seperti natrium natrium lauril sulfat atau gel alumina digunakan untuk mendapatkan minyak yang sebati dengan air, Bahan pembantu prosesan yang lain termasuklah seperti dodesilbenzen asid sulfonik di dalam syampu untuk menjadi syampu lebih berbuih.

    PEWARNA

    Digunakan untuk menghasilkan warna sediaan yang menarik perhatian pengguna. Perwarna yang digunakan boleh merupakan pewarna kimia seperti FD & C Merah atau pewarna asli seperti karotena, alkanet dan safron.

    PERASA

    Digunakan untuk menutup rasa bahan-bahan kosmetik yang tidak enak apabila digunakan. Contoh bahan perasa yang digunakan adalah seperi amil asetat dan etil asetat.

    PEWANGI

    Banyak digunakan di dalam sediaan minyak wangi. Dalam kebanyakan sediaan minyak wangi, nama pewangi tidak dinyatakan bertujuan untuk melindungi pelaburan pembangunan sediaan wangi yang dibuat oleh pengilang.

    ReplyDelete
  4. Tahniah di atas komitmen dan blog pengajian am cikgu....Sy minta kebenaran dari cikgu "copy paste" nota cikgu ini di forum saya... http://cgsue4118.forumotion.com/

    TQ...

    ReplyDelete
  5. Tahniah juga kepada usaha cikgu. Saya pun dapat banyak maklumat berguna dari blog ini. Teruskan usaha cikgu.

    ReplyDelete
  6. terima kasih cikgu ats info PA ...amat mbantu

    ReplyDelete
  7. Tahniah cgu. Atas handwork cgu ini, telah membantu dlm mnjawab soalan dan memahami soalan dgn lebih baik.
    Terima kasih.

    ReplyDelete
  8. assalam cikgu, mohon copy ye . tq

    ReplyDelete