Sunday, August 30, 2009

1MALAYSIA WUJUD RAKYAT PELBAGAI ETNIK BERFIKIR DAN BERTINDAK SEBAGAI SATU BANGSA

Perdana Menteri berkata: "Bukan senang penjajah hendak lepaskan negara yang dijajah… tetapi bila rakyat Malaysia datang dengan bersatu, pada masa itu tak ada 1Malaysia … mereka datang dengan satu komitmen ke arah satu Malaysia atau satu Malaya, maka kita telah mencapai kemerdekaan,"

Rencana selanjutnya di komentar

4 comments:

  1. 1Malaysia wujud rakyat pelbagai etnik berfikir dan bertindak sebagai satu bangsa

    SEPERTI biasa setiap 31 Ogos seluruh rakyat Malaysia akan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara. Namun sambutan tahun ini agak berbeza dengan tahun sebelumnya kerana ia disambut serentak pada Ramadan, bulan yang mulia di sisi Islam. Oleh itu rakyat khususnya umat Islam pada tahun ini di samping mengerjakan ibadat puasa mereka juga turut menyambut dan memperingati Hari Kemerdekaan yang menjadi lambang kebebasan negara daripada belenggu penjajahan Inggeris.

    Pada tahun ini, di samping usaha mengembang dan menyemarakkan syiar Islam sepanjang Ramadan seperti sembahyang sunat tarawih, witir, bertadarus al-Quran dan memberi sumbangan kepada fakir miskin, kerajaan juga menyusun beberapa program bagi menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-52 .. Malah, tempat sambutannya juga berubah dari jadual asal iaitu Stadium Bukit Jalil ke perkarangan Bangunan Parlimen.



    Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata tema Hari Kemerdekaan tahun ini ialah 1Malaysia: Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan, selaras dengan hasrat dan wawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjadikan Malaysia negara yang maju dan bersatu padu.

    Najib memperkenalkan konsep 1Malaysia sebaik saja beliau mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Malaysia keenam pada April 2009. Ia adalah konsep pembangunan negara bangsa Malaysia yang mencerminkan kesungguhan beliau yang tidak jemu-jemu berusaha menyatupadukan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

    Namun masih ramai lagi rakyat, terutama generasi muda termasuk golongan mahasiswa-mahasiswi, belia dan pelajar yang masih keliru dan belum benar-benar memahami mengenai konsep 1Malaysia. Mereka sering kaitkan dan samakan ia dengan konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan pembangkang.

    ReplyDelete
  2. Konsep Malaysian Malaysia menggariskan hak kesamarataan versi total yang membuta tuli. Ia digariskan tanpa mengambil kira realiti negara Malaysia yang berbilang kaum dan faktor sejarah bagaimana wujudnya persepakatan bagi membentuk negara Malaysia.

    1Malaysia pula berbeza dengan Malaysian Malaysia kerana ia adalah satu konsep bagi mewujudkan rakyat yang berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia dan mengambil tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan atau etnik yang ada di dalam negara ini. Malah, ia mementingkan dan menganggap masyarakat majmuk sebagai aset negara, apatah lagi konsep Malaysian Malaysia juga tidak lari sama sekali dengan Perlembagaan negara.

    Dalam apa keadaan atau suasana dan di mana jua tempat berlangsungnya sambutan kemerdekaan tidak menjadi persoalan, yang penting ialah semangat bersatu padu di kalangan rakyat dan juga semangat cintakan negara atau patriotisme perlu ditanam di jiwa setiap rakyat. Inilah yang sering ditekankan Perdana Menteri apabila bercakap mengenai kemerdekaan dan konsep 1Malaysia.

    Malah ketika majlis pelancaran Kibar Jalur Gemilang pada 12 Ogos lalu bagi menandakan bermula sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, Najib mengajak rakyat memperkukuhkan semangat patriotisme dengan meningkatkan amalan nilai dan perangai terpuji demi menjaga keharmonian serta mematuhi undang-undang. Majlis itu menandakan bermula sambutan Hari Kebangsaan tahun ini dengan sambutan kemuncak pada 31 Ogos di pekarangan Parlimen. Penutup sambutan kemerdekaan ialah pada 10 Oktober di Kuching, Sarawak.

    Bagi menyedarkan rakyat betapa pentingnya semangat patriotisme dan kemerdekaan ini jugalah Perdana Menteri hadir dan menyampaikan ucaptama pada 'Wacana Patriotisme: Ke Arah 1Malaysia dan Pelancaran 100 Wajah Wira Malaysia' di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 7 Ogos lalu. Pada majlis anjuran bersama UIAM dan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), 100 wajah wira negara diumumkan sebagai menghargai sumbangan mereka dalam pelbagai bidang kepada negara.

    Perdana Menteri yang juga bekas Presiden UIAM, berkata beliau memilih universiti berkenaan untuk program itu bukan saja kerana ia dekat di hati malah masyarakatnya yang pelbagai dan berbentuk antarabangsa perlu memahami konsep 1Malaysia yang baru diperkenalkan. Semangat patriotisme penting difahami dan dihayati semua pihak, khususnya generasi muda kerana dengan patriotisme yang tinggi mereka akan dapat menghadapi persaingan dalam era semakin mencabar sekarang.

    ReplyDelete
  3. Pada majlis itu, beliau menjelaskan semangat 1Malaysia sebenarnya sudah bermula pada awal pembentukan Malaysia dengan kerjasama padu semua kaum bagi membentuk negara yang berjaya. Semangat patriotisme yang unggul semua kaum menyebabkan negara memperoleh kemerdekaan daripada Britain tanpa sebarang pertumpahan darah.

    Perdana Menteri berkata: "Bukan senang penjajah hendak lepaskan negara yang dijajah… tetapi bila rakyat Malaysia datang dengan bersatu, pada masa itu tak ada 1Malaysia … mereka datang dengan satu komitmen ke arah satu Malaysia atau satu Malaya, maka kita telah mencapai kemerdekaan,"

    Sementara itu, Rektor UIAM, Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid ketika melancarkan sambutan bulan kemerdekaan dan ketibaan Ramadan pada 19 Ogos lalu menggesa semua kakitangan dan pelajar bekerja kuat demi kejayaan selaras dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan kerajaan.

    Menurutnya, konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri adalah kesinambungan kepada konsep pentadbiran yang dilakukan oleh semua Perdana Menteri sebelum ini dengan pendekatan berbeza tetapi matlamat yang sama iaitu ke arah mencapai perpaduan dan kemajuan negara.

    Katanya, menurut satu kajian yang diadakan baru-baru ini lebih 90 peratus rakyat menyatakan mereka berbangga menjadi penduduk Malaysia kerana negara ini maju dalam pelbagai bidang, malah lebih baik berbanding dengan beberapa negara jiran.

    Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan 1Malaysia, Prof Chandra Muzaffar, berkata persepsi 1Malaysia tidak memanfaatkan kaum Melayu dan Bumiputera mungkin muncul kerana perubahan yang dibuat kepada peraturan mengenai kuota dalam sektor ekonomi tertentu dan keperluan mengenai saham dalam pasaran saham.

    Ini adalah perubahan pendekatan; bukan pemansuhan dasar. Dasar mempertingkatkan ekonomi masyarakat Melayu dan Bumiputera yang lain secara adil, tetap dilaksanakan seperti terbukti dalam pembentukan syarikat Ekuinas untuk mengenal pasti usahawan Bumiputera yang berpotensi dan memperkukuhkan kedudukan mereka.

    Chandra berkata, membetulkan persepsi yang salah mengenai 1Malaysia adalah antara misi Yayasan 1Malaysia yang baru ditubuhkan. Malah yayasan itu juga akan menyampaikan idea dan pandangannya dari semasa ke semasa kepada kerajaan, pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) mengenai matlamat dan hasil pencapaian konsep 1Malaysia.

    Disebabkan konsep itu baru, masih ramai lagi rakyat yang samar-samar, keliru dan kurang jelas mengenai konsep, pendekatan, matlamat dan faedahnya kepada rakyat berbilang kaum di negara ini.

    ReplyDelete
  4. Demi kejayaan konsep 1Malaysia ini, semua pihak termasuk agensi kerajaan seperti Jabatan Penerangan, Biro Tatanegara, pihak swasta dan NGO perlu memainkan peranan menerangkan kepada rakyat mengenai konsep berkenaan. Apabila sudah faham barulah rakyat termasuk generasi muda dapat menerimanya dengan hati yang lapang dan terbuka. Tidaklah salah atau keterlaluan sekiranya dalam bulan kemerdekaan dan Ramadan yang penuh berkat ini, penerangan mengenai konsep 1Malaysia ini dapat diselit dan diterapkan melalui majlis ilmu demi faedah semua.

    ReplyDelete