Sunday, August 30, 2009

SEJAUH MANA KITA MERDEKA?

Hari ini 31 Ogos 2009 kita menyambut hari ulangtahun kemerdekaan negara kita ke 52. Sejauh mana kita menghayati kemerdekaan yang kita kecapi selama ini? Sejauh mana kita menghargai usaha penat lelah nenek moyang kita untuk mencapai kemerdekaan?

Ulasan lanjut lihat komen di bawah.

4 comments:

  1. Hari ini wujud perpecahan politik di hampir semua negara yang pernah dijajah

    DALAM buku-buku politik antarabangsa mengenai negara membangun yang ditulis kira-kira 30 tahun lalu, biasanya mentafsirkan politik Malaysia sebagai: "Pada mulanya adalah negara sistem satu parti dominan berdasarkan kepada nilai demokrasi Barat; masih kekal di bawah penguasaan parti Perikanan (sekarang Barisan Nasional (BN) dengan peningkatan batasan-batasan terhadap parti pembangkang."

    Hari ini, tafsiran seperti itu tidak sesuai lagi. Malaysia bukanlah negara satu parti dominan, berdasarkan persaingan parti-parti politik yang wujud sekarang. Suasana politik Malaysia sudah mengalami perubahan mendadak berikutan pelbagai proses yang sudah dilalui sejak merdeka. Sistem pendidikan banyak mengubah bentuk pemikiran rakyat, seterusnya pemikiran politik bangsa. Walaupun BN terus berkuasa, kebebasan sudah diberikan seluas-luasnya kepada parti pembangkang. Dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), sekatan maklumat terhadap mana-mana pihak termasuk parti pembangkang adalah sesuatu yang mustahil.

    Atas nama demokrasi, kebebasan tanpa batas boleh memakan diri. Dilema ini dirasai di kebanyakan negara membangun yang menghadapi ancaman politik hingga menyebabkan satu demi satu kerajaan mereka tumbang. Kerajaan baru yang memerintah pula sering tergugat akibat sokongan yang berbelah bagi. Dalam sistem demokrasi, kerajaan yang gagal mendapat sokongan padu rakyat, sekurang-kurangnya 2/3 perwakilan di Parlimen, terdedah kepada cubaan untuk diganggu-gugat.

    Penentangan pembangkang di kebanyakan negara merdeka hari ini sudah melangkaui bentuk perjuangan parti kebangsaan ketika parti-parti politik negara itu menentang penjajah suatu ketika dulu. Di negara ini, pemimpin Umno, MCA dan MIC yang berjuang membebaskan negara ini pada 1957, melakukannya dengan bijaksana, berunding dan memberi alasan kukuh mengapa Malaya ketika itu wajar dimerdekakan. Ketika gerakan menghalau penjajah British memuncak, rasa tidak ada kata-kata yang begitu kesat dilemparkan kepada Inggeris. Tetapi, hari ini kata-kata dan tuduhan pengikut parti-parti pembangkang ke atas parti pemerintah sangat jauh berbeza, terutama ketika berlaku perdebatan terbuka atau pilihan raya.

    Perjuangan menuntut kemerdekaan adalah berlandaskan kepada tuntutan hak untuk memerintah negara oleh rakyat negara ini. Akhirnya, British akur dengan jaminan pejuang kebangsaan dan nasionalis ketika itu berdasarkan tuntutan kemerdekaan menerusi satu bangsa yang bersatu padu. Dengan slogan 'Bersatu Teguh, Bercerai Roboh', pemimpin Melayu, Cina dan India berarak menunjukkan kepaduan dan kekuatan yang meyakinkan penjajah untuk membebaskan negara ini daripada cengkaman mereka.

    ReplyDelete
  2. Daripada banyak kejadian yang berlaku kebelakangan ini khasnya demonstrasi jalanan dan perhimpunan haram membabitkan ribuan manusia, jelas menunjukkan perjuangan parti politik hari ini adalah manifestasi daripada keghairahan untuk menggulingkan kerajaan yang diterajui parti-parti yang berjuang membebaskan negara daripada penjajah 52 tahun lalu. Mereka melakukannya sebagai satu proses untuk meyakinkan pengikut mereka bahawa mereka sedang membina kekuatan untuk menggugat kerajaan yang mereka uar-uarkan sebagai lemah. Jika kerajaan hari ini benar-benar lemah, ia sudah pun jatuh. Tetapi, disebabkan kerajaan BN masih mendapat sokongan sebahagian besar rakyat, walaupun kurang daripada 2/3 perwakilan di Parlimen, ia masih bertahan dan kini mengumpul kekuatan untuk memulihkan semula keadaan. Penentuan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 adalah penanda aras kerajaan BN untuk terus memerintah negara.

    Seandainyalah, penjajah melihat semula apa yang berlaku di Malaysia hari ini, ia boleh mengatakan: Orang Melayu masih bercakaran sesama sendiri dan tidak layak memerintah. Orang Cina yang menguasai ekonomi Malaysia dan kaum India yang masih kaum minoriti, juga berpecah belah. Jika diibaratkan dalam suasana hari ini rakyat negara ini mahu menuntut kemerdekaan, ia akan ditolak mentah-mentah. Walaupun pada permukaannya rakyat dilihat bersatu, tetapi dari segi lahiriahnya, mereka bercakaran dalam soal tuntutan hak. Satu demi satu peristiwa dibangkitkan mencabar kesabaran rakyat. Melayu berpecah kepada beberapa buah parti, selain golongan atas pagar. Keadaan sama juga berlaku ke atas kaum Cina dan India. Di Sabah dan Sarawak, rakyatnya meletakkan harapan tinggi kepada BN.

    Mungkinkah disebabkan negara ini tidak dapat lari daripada kesan kolonial dan tekanan imperialis, menyebabkan keadaan yang berlaku hari ini tidak dapat dielakkan. Ternyata, perubahan yang cuba diketengahkan oleh golongan tertentu adalah perjuangan imperialis yang kononnya mahukan pembaharuan, hakikatnya mereka menyemarak ideologi imperialisme. Di sesetengah negara, sudah menjadi lumrah berlaku keinginan golongan imperialis kapitalis untuk terus menguasai rakyat bekas koloni sebagai hamba ekonomi dan politik mereka. Tugas mereka bertambah mudah di bawah pemerintahan kerajaan yang lemah.

    Apa pun, Malaysia terpaksa akur seperti permasalahan pokok yang dialami oleh negara-negara membangun – untuk mengekalkan kerajaan yang mantap dan mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu. Kajian pengalaman ke atas lebih 100 buah negara menunjukkan hampir dua pertiga daripadanya adalah menjadi mangsa, sama ada kepada rampasan kuasa yang berjaya atau pun kepada percubaan yang bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan kerajaan yang ditubuhkan. Malaysia terselamat daripada ancaman seperti itu.

    ReplyDelete
  3. Umumnya, hari ini wujud perpecahan politik yang berlaku hampir di setiap negara merdeka. Apa pun, pimpinan negara masih tidak jemu meningkatkan usaha yang berterusan terhadap pemupukan perpaduan, kesetiaan kebangsaan dan kebanggaan terhadap simbol kemerdekaan dan negara.

    Pada masa sama, rakyat melabelkan anasir yang boleh memecahkan rakyat sebagai bahaya yang boleh menghancurkan negara. Ini termasuk parti politik yang menjadi pembangkang, parokialisme tempatan dan serantau, kebebasan akhbar dan perpecahan ikatan politik.

    Setiap parti seharusnya kembali kepada asas penubuhannya yang mana parti politik adalah untuk membangunkan bangsa dan negara. Tapi, jika parti politik menjadi ancaman terhadap penyatuan negara, ia tergelincir daripada landasan. Malaysia, sebagai negara bertanggungjawab terhadap rakyatnya, bimbang kepada perpecahan. Itulah sebabnya pemimpin negara sering menegaskan bahaya fahaman berpuak-puak. Bagi pemimpin pembangkang, janganlah mengandaikan sudah mendapat mandat daripada rakyat kerana kuasa sebenar terletak pada rakyat menerusi sistem pemilihan yang sah mengikut demokrasi.

    ReplyDelete
  4. Salam,

    Maaf, saya kurang bersetuju dengan apa yang dimaksudkan oleh saudara penulis tentang perpecahan politik. Persoalannya adakah penubuhan lebih daripada satu entiti politik boleh menyebabkan kemusnahan negara? Atau ia hanya kemeriahan suasana politik berpaksikan demokrasi tanah air?

    Setakat apa yang saya lihat sekarang, rakyat yang menolak BN tidaklah bermaksud ingin menghancurkan negara. Mereka hanya memilih pihak lain untuk memerintah selain daripada BN, adakah ini menyalahi hak mereka untuk memilih dalam pilihan raya?

    Saya amat yakin bahawa rakyat pada hari ini telah matang dan pandai membuat pilihan sendiri tentang siapa yang boleh memerintah dengan lebih baik pada pandangan mereka.

    Berkenaan dengan menjatuhkan kerajaan, hal ini hakikatnya telah lama berlaku dalam pilihan raya negara. Sudah 12 kali PRU dijalankan, bukankah ia diadakan untuk memberikan rakyat kebebasan untuk memilih siapa yang mereka lebih percayai untuk mengetuai negara? Atau ia diadakan semata-mata untuk suka-suka? Jika kedua-dua pihak yang bertanding dalam PRU tidak bersungguh-sungguh untuk jatuhkan kerajaan sedia ada, untuk apa PRU diadakan?

    Perlu difahami bahawa kekalahan sesebuah parti pemerintah dalam pilihan raya tidaklah sama sekali sama dengan kejatuhan Iraq ke tangan AS dan juga kejatuhan Palestin ke tangan Israel. Pokoknya, rakyat kita sudah matang dalam membuat pilihan. Janganlah mengaitkan pilihan mereka dengan sentimen perpecahan dan keruntuhan sesebuah negara...

    Wsalam

    ReplyDelete